Pada tahun 2024, saya telah berjaya merangkul tempat pertama dalam Pertandingan Membina Bahan Bantu Mengajar Menggunakan Minecraft Education peringkat Daerah Timur Laut sempena PensinPro 2024. Kejayaan ini merupakan satu pencapaian bermakna buat diri saya sebagai seorang pendidik yang sentiasa berusaha meneroka teknologi baharu dalam dunia pendidikan.
Cabaran yang di hadapi adalah kekangan masa, saya hanya mempunyai lebih kurang tiga hari untuk menyiapkan keseluruhan bahan bantu mengajar ini sebelum dipertandingkan di peringkat daerah. Walaupun tempoh masa yang terhad, saya tetap komited untuk menghasilkan satu inovasi yang bukan sahaja menarik minat murid tetapi juga memberi impak kepada pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Bahan ini sempat diuji guna oleh murid-murid bagi melihat keberkesanannya.
Bahan bantu mengajar yang saya bangunkan ini diberi nama MindProSej: Murid Mahir Digital, yang direka khas untuk membantu murid memahami konsep sejarah dengan lebih interaktif melalui dunia Minecraft Education. Dalam dunia pembelajaran yang saya bini ini, murid akan diberikan pelbagai misi dan tugasan yang memerlukan mereka meneroka, memahami, serta membina semula struktur berdasarkan fakta sejarah yang dipelajari. Dengan pendekatan gamifikasi ini, murid dapat belajar secara hands-on dan berkolaborasi dalam persekitaran maya yang menyeronokkan.
Pengiktirafan dan Penghargaan Majlis penyampaian hadiah dan sijil telah diadakan pada 8 Januari 2025 di Lot 33, Prangin Mall, Pulau Pinang dalam Majlis Apresiasi Kemenjadian Murid dan Guru Madani. Saat diumumkan sebagai pemenang tempat pertama, saya merasa sangat bersyukur dan berbangga kerana usaha saya dalam mengintegrasikan teknologi digital dalam pendidikan mendapat pengiktirafan. Kemenangan ini bukan sekadar kejayaan peribadi, tetapi juga membuktikan bahawa teknologi seperti Minecraft Education mempunyai potensi besar dalam dunia pendidikan.
Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan dan dorongan sepanjang perjalanan ini, termasuk rakan-rakan guru, pihak penganjur, serta murid-murid yang sentiasa menjadi inspirasi saya dalam mencipta bahan pengajaran yang lebih inovatif.
Kesimpulannya, kejayaan ini memberi semangat baharu untuk terus berkarya dan meneroka pelbagai lagi kaedah pengajaran yang inovatif dan efektif. Saya berharap agar lebih ramai pendidik akan menggunakan Minecraft Education serta teknologi lain dalam pengajaran mereka bagi meningkatkan pengalaman pembelajaran murid. Dengan adanya usaha yang berterusan, kita dapat melahirkan generasi murid yang lebih kreatif, inovatif, dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Sekali lagi, terima kasih atas penghargaan ini. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak inovasi dalam dunia pendidikan.
0 Comments